Friday, October 28, 2011

Hulagu Khan, Khabar Hitam dari timur


Salam pembaca blogku, setelah hampir 2 hari penuh, barulah khatam membaca sebuah novel sejarah Islam yang amat menarik dan berinformasi iaitu Hulagu Khan, Khabar Hitam dari timur. Buku ini ditulis oleh Abdul Latip Talib yang juga penulis beberapa novel sejarah Islam yang lain seperti Perang Khandak, Perang Uhud, Mat Kilau, Tok Janggut dan yang paling popular Lembing Awang pulang ke Dayang.

Dengan gaya bahasa yang mudah dan menarik, penulis buku ini dapat menyampai maklumat sejarah tanpa perlu pembaca merasa bosan seperti buku teks sekolah.

Peristiwa jatuhnya kota Baghdad akan sentiasa menjadi peristiwa yang amat menyayat hati setiap Muslim. Banyak pengajaran yang dapat kita pelajari jika kita benar-benar menghayati 'message' yang ingin disampaikan oleh buku ini.

Saya harap jika anda belum lagi membaca buku ini, sila dapati di kedai buku berdekatan. Maklumat buku ini ada dibawah dan saya petik juga blog penulis sebagai tatapan anda semua. Sekian....

Mohamad Azmi Nias Ahmad
Kinross, Western Australia
28 Oktober 2011, 9.21 pm

Maklumat Berkenaan Buku:

Harga: RM 24 / RM 27
ISBN-13: 978-983-3892-41-9
Tarikh Terbit: 25 Jul 2009
Jumlah Muka Surat : 256.
Kategori: Novel Dewasa, Novel Sejarah Islam.
Penerbit: PTS Litera Utama Sdn Bhd


Petikan blog penulis buku ini :

Nama Hulagu Khan menjadi terkenal serta diingati ramai kerana beliau berjaya menakluk serta memusnahkan Kota Baghdad pada zaman pemerintahan Bani Abbasiyah pada tahun 1258. Tentera Salib yang paling gembira dengan kehancuran kota Baghdad itu kerana sebelum itu mereka pernah dikalahkan oleh Sultan Salahuddin al Ayubi dalam perang salib. Malah ada yang mengatakan mereka turut membantu Hulagu Khan.
Nama Hulagu Khan tercatat dalam sejarah Islam sebagai pahlawan Monggol yang paling kejam kerana membunuh ramai umat Islam serta menghancurkan peradaban Islam di kota Baghdad.
Novel ini ditulis pada tahun 2007. Kerana beberapa sebab ia agak lambat diterbitkan.
Setelah selesai menulis kisah empat pahlawan Islam iaitu Khalid al Walid, Ikramah bin Abu Jahal, Salahuddin al Ayubi dan Tariq bin Ziyad, saya ingin merakamkan kisah kejatuhan kota Baghdad. Saya pilih Hulagu Khan kerana dia ada kaitan dengan peristiwa tersebut. Walaupun ramai yang beranggapan Hulagu Khan adalah musuh Islam dan bukan pahlawan Islam, tetapi kisahnya amat menarik serta ada kaitan dengan sejarah kejatuhan kota Baghdad.
Kenapa Hulagu Khan menakluk kota Baghdad?. Kenapa dia bersikap kejam terhadap umat Islam?. Kenapa kerajaan Bani Abbasiyah yang telah berkuasa selama lebih 500 tahun dengan mudah berjaya ditumbangkan oleh orang-orang Monggol?. Siapakah pahlawan Islam yang berjaya mengalahkan orang-orang Monggol?. Bagaimana mereka boleh dikalahkan?. Apa yang terjadi kepada Hulagu Khan setelah menakluk Kota Baghdad?. Semua persoalan itu akan terjawab setelah membaca novel ini.
Tunggu kemunculannya tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment